Seks sebelum bertanding: manfaat atau mitos?

Jawatankuasa Sukan Olimpik London 2012 menyediakan 150,000 kondom bagi menampung keperluan aktiviti seks para atlet, pegawai dan penonton pada sepanjang kejohanan.

Memang sukar untuk memisahkan seks dengan atlet-atlet yang bertanding.  Menurut Koordinator Jabatan Sukan Universiti Mexico, Juan Carlos Medina, seks membuatkan para atlet lebih tenang. "Ia dapat mewujudkan keadaan mental dan fizikal yang lebih selesa," ujarnya, ketika diwawancara di Olimpik London 2012.


Medina memberitahu, legenda bola sepak Brazil, Pele tidak pernah turun ke padang untuk beraksi tanpa mengadakan hubungan seks terlebih dahulu. "Dia perlu bertemu dengan isterinya.  Seks membantunya lebih relaks," jelas beliau lagi.

Benarkah begitu?

Bagi pegawai perubatan  sukan, Hario Tolarso, amalan melakukan seks  sebelum satu-satu pertandingan adalah faktor kebiasaan dan budaya semata-mata. "Oleh itu, baik atau tidaknya bergantung kepada individu kerana ia hanya suatu kebiasaan. Pasukan kebangsaan Jerman misalnya, mereka dibenarkan membawa isteri atau teman lelaki ketika bertanding. Sebaliknya pasukan kebangsaan Belanda, tidak dibenarkan berbuat demikian," ujar Hario.


Mengenai dakwaan bahawa hubungan seks mampu menghilangkan stres sebelum pertandingan, Hario berpendapat ia tidak mempengaruhi kemampuan atlet.  Katanya, semua itu bergantung kepada individu dan ia tidak berlaku secara umum.

"Bahkan, melakukan seks sebelum bertanding langsung tidak memberikan kesan terhadap prestasi atlet. Hubungan seks juga tidak mempengaruhi psikologi atlet. Semuanya bergantung kepada diri masing-masing.  Jika seseorang biasa melakukannya, maka mereka akan melakukannya," tambahnya.

Di Indonesia jelas Hario, perkara ini sering disalahertikan lantaran melihat kehidupan atlet di luar negara yang ternyata lebih bebas.  Jika pemain ingin melakukan hubungan seks sebelum beraksi dalam satu pertandingan dan kemudian pulang ke markas, ia tidak akan menjadi masalah. "Namun biasanya mereka akan terus berfoya-foya  di kelab-kelab malam dan mabuk sekali gus menjejaskan prestasi mereka. Itulah masalahnya," kata beliau.

Pegawai perubatan sukan ini sering menemukan atlet yang terkena penyakit kelamin dan perlu menyuntik ubat penawarnya. Jelas Hario, hubungan seks sebelum bertanding juga tidak mempengaruhi kesihatan fizikal termasuklah pembakaran kalori.

"Ada juga kes, yang mana setelah berhubungan seks para atlet akan berasa lega dan selesa. Tapi sebenarnya seks tidak terlalu mempengaruhi keadaan fizikal, malah kalori yang dibakar juga sedikit," jelas Hario.

Di sini jurulatih harus memainkan peranan untuk memberi maklumat yang benar kepada atletnya mengenai hubungan seks sebelum bertanding.

Pemain bola sepak kelab Persema Malang yang juga bekas pemain tengah pasukan kebangsaan Indonesia, Bima Sakti, mempunyai pandangan yang sama. Dia mengakui yang hubungan seks sebelum bertanding adalah perkara biasa dan ia terpulang kepada individu. "Boleh saja jika mahu 'main' dulu. Tapi hubungan seks haruslah yang halal dan sesuai dengan tanggung jawab," katanya.

Dalam pada itu Bima mengakui bahawa kelab yang diwakilinya kini akan mengkuarantinkan pemainnya sebelum pertandingan berlangsung. Justeru katanya, tidak ada kesempatan untuk berhubungan seks.

"Secara peribadi saya berpendapat, menumpukan perhatian sebelum bertanding adalah lebih baik daripada seks. Namun jika ada pemain yang ingin melakukan hubungan seks terlebih dahulu, silakan tetapi jangan sampai menjejaskan prestasi di padang," tegas bekas kapten pasukan kebangsaan merah putih itu.