Isteri bintang bola sepak Mat Yo celupar

SELEPAS menjulang nama sebagai pemain bola sepak kebangsaan, kali ini isteri Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo pula muncul sebagai 'bintang'. Namun, Siti Aisya Adam, 24 bukanlah disanjung seperti suaminya yang sememangnya hebat di padang bola.

Nama Siti Aisya mula bermain di bibir peminat Mat Yo selepas satu rakaman klip video mula tersebar dengan meluas dan menjadi viral di laman sosial sejak semalam.

Klip video itu menunjukkan insiden di mana Siti Aisya memarahi seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas. Insiden tersebut dipercayai berlaku di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) pada 12 September lalu.

Siti Aisya mula berang selepas dihalang oleh pengawal itu untuk memberhentikan kereta di tempat yang salah. Apabila ditegur, Siti Aisya ternyata tidak berpuas hati dan mula bertengkar dengan pengawal tersebut. Insiden itu turut disaksikan oleh Mat Yo namun bintang bola sepak itu digambarkan hanya mampu berdiam diri.

Beberapa jam selepas rakaman video berdurasi 55 saat itu dimuat naik, ia ditonton hampir 100,000 pelayar Internet di laman Youtube. Ianya juga menjadi topik hangat di laman sosial facebook (FB), sehinggakan wujud video parodi mengejek isteri bintang bola sepak itu.

Kemarahan pengguna laman sosial jelas sehinggakan laman Facebook bertajuk 'Kami Benci Bini Mat Yo' turut menjadi platform bagi peminat Mat Yo melepaskan kemarahan mereka kerana kebiadapan Siti Aisya.